Album Baru Foo Fighters Menampilkan Taylor Swift Sebagai Artis Undangan?

Articles, Entertainment, Music

Selepas mengejutkan peminat dengan single terbaru mereka yang bertajuk ‘Run‘, Dave Grohl dan rakan-rakan telah mendedahkan bahawa album ke-9 mereka akan dilancarkan pada 15hb September 2017. Album tersebut dihasilkan oleh Greg Kurstin (produser Adele, Sia, Pink) dan diadun oleh Darrel Thorp (pernah berkhidmat untuk Beck, Radiohead), album ‘Concrete And Gold’ digambarkan oleh Dave Grohl sebagai ‘adunan hard rock dan nuansa pop’.

“Aku mahukan album ini untuk menjadi album Foo Fighters yang paling lantang,” kata Grohl. “Untuk menghasilkan sebuah album rock tetapi dengan sentuhan Greg Kurstin pada melodi dan susunan lagu. Bayangkan album The Beatles – Sgt Pepper tetapi versi Motorhead. Lebih kurang begitu.”

Album tersebut sudah boleh dibeli secara pre-order di sini. Berikut lagu-lagu di dalam album terbaru mereka:

  1.  ‘T-Shirt’
  2. ‘Run’
  3. ‘Make It Right’
  4. ‘The Sky Is A Neighborhood’
  5. ‘La Dee Da’
  6. ‘Dirty Water’
  7. ‘Arrows’
  8. ‘Happy Ever After (Zero Hour)’
  9. ‘Sunday Rain’
  10. ‘The Line’
  11. ‘Concrete and Gold’

Setakat ini hanya dua lagu baru daripada album terbaru mereka yang telah mereka mainkan di konsert, iaitu ‘The Sky Is A Neighbourhood‘ dan ‘La Dee Da’.

Dan apa pula kaitan Taylor Swift dengan album terbaru Foo Fighters? Ketika membincangkan album ‘Concrete And Gold’ di sesi temu-ramah di BBC Radio 1, Dave Grohl mendedahkan bahawa album tersebut akan menampilkan penampilan khas beberapa artis undangan termasuk beberapa artis yang akan mengejutkan semua orang.

“Salah seorang daripada artis undangan tersebut ialah artis pop paling ternama ketika ini – aku tidak bergurau – beliau penyanyi latar untuk salah satu lagu paling berat di dalam album tersebut, dan kami tidak mahu mendedahkan identiti beliau,” tambah Dave Grohl.

Tiada siapa tahu siapakah yang dimaksudkan oleh Dave Grohl tetapi sebuah kolaborasi bersama Taylor Swift tidaklah mengarut bila kita ambil kira peristiwa ini. Lagipun, Taylor Swift merupakan artis pop paling ternama buat masa ini.

Siapakah anda rasa artis pop undangan tersebut? Kalau tanya penulis, penulis akan jawab Aiman Tino. Senang cerita.

P/S: Dave Grohl tidak berbahasa Melayu. Teks temuramah Dave Grohl diterjemahkan oleh penulis.

Rujukan:

http://musicfeeds.com.au/news/foo-fighters-announce-new-album-concrete-gold-feature-taylor-swift/#pdQAfb9L7cSEAmk6.99

https://myspace.com/article/2017/6/20/foo-fighters-announce-new-album-concrete-and-gold-nme

Leave a comment